Sejarah & Objektif

 

SEJARAH

JOHOR namanya di ambil dari perkataan Arab, ‘Jauhar’ yang bermakna Batu Berharga. Pada pertengahan abad ke 19, ibu negeri Johor dipindahkan dari Johor Lama ( Kota Tinggi ) ke Johor Bahru. Ini adalah sebagai satu langkah pemodenan yang dijalankan oleh Temenggong Abu Bakar atau Sultan Albert Bakar gelaran yang diberikan oleh pihak Inggeris kepada Bapa Johor Moden ini.

Johor juga dikenali sebagai Negeri Hujung Tanah dan Hujung Tanah Besar Asia. Berdasarkan kedudukan geografinya Johor dikelilingi tiga tepian yang mengadap laut iaitu disebelah baratnya mengadap ke Selat Melaka, disebelah timurnya mengadap Laut Cina Selatan, sebuah selat dinamakan Selat Tebrau menjadi pemisah antara Malaysia dan Singapura.

Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Johor telah ditubuhkan pada 14 Oktober 1969. Pada asal penubuhan dikenali sebagai Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun 1971, Pejabat Pembangunan Negeri diletakkan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan perubahan tersebut, fungsi dan peranan PPN telah berubah sebagai penyelaras, pengesan dan pelaksana program/projek pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perusahaan Awam dan Kementerian Perusahaan Utama di Negeri Johor.

Seterusnya peranan Pejabat Pembangunan Negeri telah diperjelas dan diperkukuhkan melalui Arahan No. 1/1996 Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional dan Arahan No. 1/2001 Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Wawasan Negara. Pejabat Pembangunan Negeri Johor pada mulanya telah ditempatkan di Kompleks Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan Johor Bahru dan kemudiannya berpindah ke Menara Ansar, Johor Bahru mulai 1 November 2000.

 

 OBJEKTIF

  1. Menyelaras, memantau, menilai dasar dan pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) di Negeri Johor.

  2. Menjadi urusetia kepada jentera penyelarasan pelaksanaan di bawah Arahan No. 1, 2010 dan Mesyuarat-mesyuarat Utama kerajaan di Negeri Johor.

  3. Mengurus Peruntukan serta melaksana, memantau dan menilai Program/ Projek Khas YAB Perdana Menteri di Negeri Johor.

  4. Merancang, menyelaras, melaksana, memantau dan menilai program Pembasmian Kemiskinan di Negeri Johor.

  5. Memantau dan menyelaras pelaksanaan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Negeri Johor.

  6. Melaksanakan dasar/ program/ projek pembangunan di peringkat Negeri Johor.